Wednesday, April 20, 2011

Mutalib

mutalib pernah ada kerjaya yang mulia, iaitu seorang perajurit negara. sampai ke tahap komando barangkali. selepas bersara dari bidang ketenteraan, beliau beralih arah ke bidang yang lebih mulia; pencacai di Majlis Perbandaran Kluang Utara. namun demikian, minatnya dalam bidang ketenteraan tidak pernah pudar sama sekali. bak kata noraniza idris, "tak lekang dek panas, tak usang dek hujan." katanyalah.

berikutan minatnya yang mendalam terhadap kerjaya askar, beliau berjaya memperoleh kerja sambilan sebagai jurulatih fizikal, yang bertumpu pada program-program motivasi budak sekolah sama ada peringkat rendah mahupun menengah. peringkat tadika beliau tak mohon.

sekitar tahun 2003, beliau mendapat tawaran menjadi jurulatih fizikal untuk program 'Kem Hijrah' yang dianjurkan oleh sekolah menengah sains johor, kluang. program ini dianjurkan khas untuk membentuk sikap disiplin memandangkan pelajar yang wajib menyertainya adalah pelajar yang pernah digantung sekolah, atau yang fail kes jenayahnya sampai tebal macam ensiklopedia binatang.

maka berlangsunglah program tiga hari dua malam itu seperti yang dijanjikan. program itu berlangsung di Hutan Rekreasi Ulu Denga, kluang. mutalib tanpa rasa ragu-ragu, kuat bersemangat dan dengan girangnya menjalankan tugasnya membentuk disiplin budak sekolah sains yang kurang berdisiplin itu.

sebagai jurulatih fizikal yang berlatarbelakangkan profession ketenteraan, aspek disiplin sangat dititikberatkan mutalib. di bawah kuku besi mutalib, budak-budak sains johor yang degil-degil itu dikerah, diherdik dan ditengking dan dihukum andai ada sekelumit silap di mata sepet mutalib.

oh lupa nak jelaskan rupa bentuk mutalib. mutalib bermata sepet dan sedikit meruncing ke atas di bahagian hujung mata, persis komunis. misainya tajam-tajam. pipinya bulat-bulat. rambutnya petak-petak. semangat askar masih jelas kelihatan pada potongan rambutnya. malangnya, perutnya tak cukup askar. biasa nampak perut askar pencen? hah macam tu lah.

"kamu.. kamu itu, budak sekolah sains mrsm mara! jangan kamu ingat kamu itu mahu seronok-seronok suka-suka. kamu mesti ingat itu! kamu.. kamu itu.. mak bapak kamu hantar kamu.. ke sekolah mrsm mara belajar! bukan kamu mengeehisap rokok! kamu.. kamu itu!"

gertak mutalib selepas beliau memaksa budak-budak yang pernah menghisap rokok mengaku kesalahan masing-masing. hari pertama saja, dah macam-macam mutalib ceramah. tapi kadang-kadang, bahasa pertuturannya kurang jelas pada telinga manusia biasa. mungkin gajah atau beruang sahaja yang mampu memahami mutalib. mutalib.. mutalib..

"saya punya latihan sangat ketat! saya yakin.. kamu tak tahan dengan latihan saya! besok mesti ada yang demam! saya gerenti!" gertak mutalib lagi penuh yakin. kali ini beliau menggunakan bahasa yang mudah difahami manusia.

mutalib bukan cakap kosong, sampai sahaja di hutan itu petang jumaat, selepas diceramah mutalib, budak-budak sekolah sains johor tanpa sempat menukar pakaian, terus dikerah memasang khemah dengan berbaju melayu putih dan bersampin. habis kotor baju budak-budak ni mutalib. kau memang tak pernah fikir perasaan orang, kan mutalib?

dari petang, hingga ke tengah malam, hinggalah ke awal pagi, budak-budak itu dijadualkan dengan bermacam-macam kegiatan fizikal dan rohani. memang memenatkan, lagi-lagi aktiviti yang diselia oleh mutalib. dia punya penat tuhan saja yang tahu. sampai ada budak sujud tak bangun-bangun waktu solat isyak. kira-kira jam 3 pagi barulah budak-budak dilepaskan untuk tidur.

"mutalib memang kejam!" kata hati setiap budak sains, rasa teraniaya dengan perlakuan mutalib.

hari kedua, seawal jam 5.30 pagi budak-budak dikejutkan mutalib. tapi kebanyakan budak bangun lewat dari yang dikerah mutalib. waktu solat subuh, semakin ramai budak-budak yang sujud lama sangat berbanding solat isyak pada malamnya. yang tak bangun terus sampai habis kuliah subuh pun ada.

selepas sarapan, mutalib mengerah budak-budak beratur ibarat latihan kawad, untuk diceramah kerana bangun lewat.

"saya boleh tidak tidur! dan saya juga tidak boleh tidak tidur!" laung mutalib.

"wtf?" kata budak-budak dalam hati.

"saya boleh tidur pukul 6 pagi dan bangun pukul 5 pagi! kenapa kamu tak boleh?!" jerit mutalib lagi dalam bahasa mutalib, bukan bahasa melayu biasa.

"wtf?" kata budak-budak lagi. dalam hati. tak puas hati.

namun selepas beberapa ketika, barulah budak-budak menyedari sesuatu tentang mutalib. tentang kehebatan mutalib melihat masa depan. serentak dengan itu, budak-budak teringat kata-kata mutalib semalam. pasti ada yang demam pada hari kedua. mutalib yakin. budak-budak pun mula yakin dengan mutalib. semua sepakat mengakui kebolehan mutalib melihat masa depan.

mutalib demam.

3 comments:

Anonymous said...

kawan kawan kamu menyanyi bagai nak tertanggggal tekak kaaaw...!

ayob said...

celaka, gua lupa dialog yang tu. haha

Evagurl said...

knpa xde org g tarik bulu idung mutalib? oh yea..ak lupa, dia komander pencen.. bulu awl2 stndby bkar je