"Bila besar, saya nak jadi Optimus Prime cikgu!" laung Sazali dari tempat duduk paling belakang sekali dalam kelas Tahun 4 Anggur.
"Pehhhhh!!" sambut satu kelas.
Cikgu Hairullijal Harun memandang tepat ke arah Sazali dengan renungan macam nak tendang tapi tak sampai hati.
Hari itu hari Isnin. Cikgu Hairullijal tak ada mood nak mengajar sebab baru lepas kena marah dek guru besar kerana tak menghadiri perhimpunan pagi. Bukan suka-suka dia malas nak hadirkan diri. Tabiatnya itu berpunca dari sikap guru besar itu sendiri yang suka beri ucapan berjela-jela. Sudahlah ucapannya itu amat membosankan, diselitkan pula dengan lawak-lawak jenaka yang langsung tidak kelakar hinggakan meremang bulu tengkuk cikgu-cikgu lain mendengarnya.
Disebabkan tiada mood mengajar, Cikgu Hairullijal mengambil keputusan untuk menghabiskan masa dengan mengenali dengan lebih dalam peribadi setiap murid kelas Tahun 4 Anggur. Beliau bermula dengan menyoal setiap murid tentang cita-cita masing-masing.
"Okey, kamu pulak nak jadi apa bila besar, Zulzazzly?" soal Cikgu Hairullijal kepada Zulzazzly yang duduk sebelah Sazali. Jenis malas nak marah budak-budak yang tak cukup akal macam Sazali tadi.
"Saya nak jadi juara Akademi Fantasia, cikgu. Bukan apa cikgu. Ni pun mak saya yang suruh. Mak saya bukan main minat kat Akademi Fantasia. Mak saya dah daftarkan saya masuk Kelab Peminat Dafi. Kalau cikgu nak tau.."
"Cukup," pantas dan tenang Cikgu Hairullijal memotong percakapan Zulzazzly. Zulzazzly memang jenis banyak cakap mengalahkan guru besar bagi ucapan semasa perhimpunan pagi setiap Isnin. Sepatah ditanya, berjela-jela dijawabnya. Guru besar pun tak sampai macam tu dia punya tabiat.
"Hah, Maya. Kamu pulak?" soal Cikgu Hairullijal kepada Maya, budak perempuan kacukan Melayu Jawa dengan Serani.
"Saya nak jadi covel girl majalah Mangga, cikgu!" jawab Maya yakin.
"Astaghfirullah.." balas Cikgu Hairullijal perlahan. Serta-merta wajahnya memandang lantai simen kelas 4 Anggur.
"Huh, kids this day.." keluhnya lagi sambil menggelengkan kepala.
Termasuk Maya, hampir separuh kelas menjawab dengan jawapan-jawapan yang tak boleh diterima dek akal rasionalnya. Ada juga segelintir yang menjawab dengan jawapan yang normal, tapi lebih banyak kurang normal dari normalnya.
Di sudut lain kelas 4 Anggur, Leon Agusta menanti gilirannya disoal cikgu. Sudah terpahat dalam kepala Leon apa yang dicitakannya apabila dewasa kelak. Dia tak pernah ragu-ragu dengan cita-citanya yang tinggi menggunung itu.
"Peh, ini kalau aku jawab nak jadi striker West Ham United ni, mesti cikgu kata aku power," bisik hati Leon.
Tidak lama kemudian, sampailah giliran Leon untuk disoal.
"Leon Agusta!" laung Cikgu Hairullijal sambil memandang ke arah Leon.
Penuh bersemangat Leon bangun untuk memberitahu satu kelas tentang cita-citanya yang dia anggap paling besar dalam sejarah peradaban murid-murid tahun empat seluruh negara. Leon menarik nafas dalam-dalam untuk mengumpul keyakinan.
"Kamu tolong padamkan whiteboard ni. Cikgu nak buat kuiz. Siapa dapat jawab, boleh keluar rehat awal," arah Cikgu Hairullijal sebelum sempat Leon buka mulut.
"Baik, cikgu..." jawab Leon lemah sambil melangkah longlai ke arah papan putih. Matanya tepat memandang lantai, persis gaya Cikgu Hairullijal sebentar tadi.
"Apa nak jadi la budak-budak zaman sekarang ni. Ni la akibatnya kalau mak bapak pun perangai macam budak-budak baru nak naik. Huh, parents this day.." keluh Cikgu Hairullijal lagi perlahan. Lebih kepada bermonolog.
Leon Agusta, sepuluh tahun dan bercita-cita menjadi penyerang West Ham United, memadam papan putih sambil memuncungkan mulut tanda protes.
bersambung..
6 comments:
ternanti-nanti gua ngan cerita penyerang hebat west ham ni..
hehehe ada juga orang baca. gua ingat gua sorang je yang baca.
kat mana sekolah buah tu?
boodooooohhhh
kepala bapak punya nama ckgu..sengaja ko bg yg pnjg2..haha
ko memang idola
Post a Comment