Monday, December 31, 2012

Afif

Pada suatu hari, aku membuka blog Afif. Jadi aku ingin bercerita perihal Afif. Jaga-jaga.

Afif adalah seorang lelaki dewasa yang suatu masa dulu adalah seorang punk tegar walaupun namanya agak keanak-anakan dan tidak melambangkan punk langsung. Tambahan pula gambarnya masa berumur bayi dulu amat comel nak mampus siap berjubah dan berketayap. Macam syaitan bila menginjak usia remaja menjadi punk.

Afif ini dahulunya adalah seorang pemuda berambut afro, berbaju yang bukan-bukan, berseluar ketat serta berkasut Creepers. Imej sebegini pernah menjadi umpatan sesetengah pelajar perempuan yang mementingkan paras rupa demi menjamin masa depan hidup berkeluarga yang cerah.

"Ya Allah, kenapa rambut dia macam tu?"

Begitulah contoh komen seorang pelajar perempuan apabila berselisih dengan Afif. Umpatannya itu amat jelas didengar Afif. Nasib baiklah Afif ini jenis yang easy going dan tidak sampai hati untuk menumbuk muka seorang gadis yang naif.

Afif pada masa itu bila bersuara, percakapannya persis seorang yang kurang menggunakan akal serta tidak memikirkan langsung perasaan orang lain. Namun begitu, dia seorang sangat peramah dan mudah mendekati gadis-gadis cantik. Malangnya gadis-gadis itu hanya menganggap Afif sebagai tempat persinggahan. Kasihan Afif.

Tapi itu adalah kisah beberapa tahun lepas.

Setelah lama tidak membuka blog Afif, aku terkejut kerana tulisan Afif di blognya sekarang sudah terlampau berubah. Tidak seperti Afif yang aku kenal. Artikel-artikel tulisannya yang berkisarkan tentang hal-hal kejuruteraan berat, perniagaan minyak dan gas, tips-tips temuduga serta yang berkaitan dengan hal-hal korporat amat sukar untuk aku baca dan hadam. Ianya terlalu tragis.

Afif juga sekarang menjadi segak berpakaian. Rambutnya sudah tidak afro seperti dulu malah sudah berubah menjadi lurus, kemas dan tersisir rapi. Tiada lagi seluar ketat dan baju bukan-bukan seperti dahulu.

Aku berasa amat kecewa dan sedih disebabkan hal ini. Aku mengesyaki tubuh Afif telah dikuasai saka lalu perilaku Afif serta kebolehannya menggunakan akal telah berubah sepenuhnya. Mungkinkah roh Afif yang sebenar sedang terperangkap di dimensi lain sehinggakan dia tidak dapat kembali ke tubuhnya sendiri?

Sehingga artikel ini ditulis, Afif masih belum pulih seperti sediakala. Jadi, aku menyeru kepada sahabat-sahabat semua, sama-sama kita berdoa supaya roh Afif dapat dikembalikan semula ke tubuhnya dan supaya saka yang mengusai tubuhnya itu dapat meninggalkan tubuh Afif dengan aman.

Kembalilah Afif.

4 comments:

Pert Doherty said...

ok. aku ambil tulisan ni untuk dimuatkan..

ayob said...

kau gila?

Evagurl Izma said...

hoi. jeles ah tu ngan afif. haha :P

kim salam kat afif <3

Wadi AR said...

kau tak jeles dgn afif kan